Hari ini diberi kesempatan untuk berkongsi sedikit ilmu yang diperolehi melalui seminar-seminar yang pernah saya hadiri. Malalui ilmu yang saya perolehi daripada sifu-sifu hebat lagi berpengalaman ini, maka saya cantumkan menjadi formula dalam mendidik gaya makan anak-anak.
KENAPA PERLU UBAH ?
Dua tahun lepas saya berkesempatan menghadiri seminar 2 hari anjuran Institut Pembangunan Keluarga & Kanak-kanak Nury yang dikelolakan oleh dua orang adik beradik yang cukup hebat iaitu Dr.Azura dan Pn. Lala. Mereka adalah anak kepada Dato' Dr. Noor Laily iaitu pengasas kepada Institut Nury. Sedikit pengenalan berkaitan institut ini, ia ditubuhkan pada 1984 dengan tujuan untuk membantu para ibu bapa dalam membentuk anak-anak yang cemerlang. Institut ini juga telah membantu ribuan ibubapa dan pendidik di serata Malaysia, Singapura dan Brunei setakat pengatahuan saya. Dato' Dr. Noor Laily mendapat didikan secara langsung daripada Dr. Glenn Doman dari Institute for Achievement of Human Potential Philadelphia, USA dan ilmunya kini diturunkan dan dipraktiskan oleh anak-anaknya.
Kesan makanan pada otak
Menariknya tentang institut ini, para peserta seminar diterangkan tentang konsep otak. Bagaimana pentingnya fungsi otak pada peringkat seawal kelahiran sehingga usia 6 tahun. Para peserta turut diberi pendedahan berkaitan cara-cara mengenalpasti kecederaan otak, memelihara dan mengembangkan fungsi otak. Pemakanan anak pada seawal usia sehingga peringkat 6 tahun perlu diberi perhatian kerana ia sangat memberi kesan kepada fungsi otak. Pemakanan yang sihat dan seimbang adalah faktor kepada perkembangan otak yang baik, sebaliknya akan berlaku kepada otak sekiranya anak-anak banyak didedahkan kepada makanan-makanan yang diproses kerana kandungan perasa tiruan, pengawet, pewarna dan paras gula yang tinggi. Otak akan mengalami kecederaan atau hilang fungsi dan terkesan pada sikap dan emosi anak. Atas kesedaran ini saya telah melakukan tindakan dan perubahan besar terhadap pemakanan dalam ahli keluarga saya. Saya mempunyai 3 orang anak perempuan yang berusia 3 bulan, 2 tahun dan 4 tahun yang mana pada peringkat ini merupakan sel-sel otak berkembang dengan sangat pesat. Jadi, saya tidak boleh bertangguh dalam mengubah budaya makan mereka. Anda sebagai ibubapa juga harus memiliki sensitiviti ini dan bertindak melakukan perubahan secara perlahan dan konsisten.
Anak-anak adalah satu anugerah yang paling bernilai buat ibubapa. Sudah tentu setiap ibubapa inginkan yang terbaik dan cemerlang untuk anak-anak mereka. Dalam usaha melakukan yang terbaik untuk anak-anak-anak sudah pasti bukan sesuatu yang mudah. Melalukan sesuatu perkara yang berbeza dalam masyarakat sudah pasti banyak cabarannya samada ia datang dari dalam atau dari luar.
Cabaran dalaman:
Bagaimana mahu membiasakan anak-anak dengan makanan berkhasiat?
Bagaimana mahu menanamkan kefahaman ke dalam fikiran anak tentang makanan 'dera-diri'?
Bagaimana mahu menanamkan prinsip kepada anak-anak apabila berhadapan dengan orang yang lain prinsipnya seperti yang ditanamkan kepada mereka?
Bagaimana memastikan emosi anak tidak terganggu dengan faktor-faktor persekitan yang negatif?
Cabaran luaran:
Bagaimana mahu berhadapan dengan kenalan dan keluarga yang bertentangan dengan prinsip dan tujuan kita?
- Orang yang berbeza pendapat tetapi menghormati prinsip kita.
- Orang yang berbeza pendapat dan sangat menentang prinsip kita.
Kursus Ibu Bapa Profesional & Anak cemerlang 2014 - Institut Nury.
BAGAIMANA MAHU MULA?
Alhamdulillah, saya juga berkesempatan menghadiri kursus 3 hari bersama seorang mentor hebat iaitu Dr.Azizan Osman. Beliau bukan sahaja telah menjadi mentor kesayangan ramai malah telah melahirkan ramai usahawan yang berjaya. Sedikit ilmu yang saya perolehi daripada beliau, saya aplikasikan dalam misi memperjuangkan makanan sihat ini insyaAllah.
Akal dan emosi berperanan dalam menghasilkan satu tindakan yang luar biasa dan konsisten yang mana hasilnya adalah kejayaan terhadap impian yang hendak dicapai.
Akal/ Pemikiran
Bagi kebanyakan ibubapa yang mempunyai cita-cita membudayakan pemakanan sihat dikalangan anak-anak, pertama harus bina keyakinan terhadap apa yang difikirkan (akal). Tepis segala kata-kata negatif yang boleh mendorong kepada kegagalan seperti:
"Kenapa nak jaga makan sangat. orang lain makan ok je. Takde apepun jadi."
"Kolot la...semua benda tak boleh nak makan."
"Kalau semua benda tak boleh nak makan, abis nak makan ape.?"
"Sekali sekala kena la raikan kegembiraan anak..."
Apabila kata-kata ini datang, maka kita harus ada persediaan. Akal yang sihat akan segera mengembalikan keyakinan kita terhadap perkara yang sedang kita usahakan. Tanamkan kata-kata yang membina dalam fikiran terlebih dahulu. Antaranya:
"Aku buat ni, kerana ia perintah Allah- ambil makanan yang baik lagi halal. Pasti besar hikmahnya."
"Aku nak yang terbaik untuk anak aku."
"Manusia yang hebat adalah manusia yang tetap dengan prinsip kebenaran yang dipegang."
"Manusia yang hebat sering melakukan tindakan luar biasa."
"Manusia yang berjaya adalah manusia yang tidak mengikut arus negatif persekitarannya."
"Aku pasti boleh buat."
Untuk menghasilkan pemikiran yang positif, kita sebagai ibubapa harus jelas dengan tujuan dan sangat memerlukan kepada ilmu. Faktor persekitaran yang positif juga sangat membantu seperti berkawan dengan orang-orang yang positif dan cuba kurangkan masa bersama dengan orang yang boleh menyumbang kepada kegagalan.
Emosi/ Perasaan
Apabila akal telah berfikir secara luar biasa, peranan emosi juga perlu diselarikan. Jangan terlalu melayan perasaan terhadap kata-kata yang negatif tetapi sentiasa memikirkan yang ianya mudah dilaksanakan. InsyaAllah segalanya menjadi mudah.
Tindakan
Pemikiran yang sentiasa positif dan emosi yang sentiasa stabil akan melahirkan tindakan yang konsisten. Kita bertindak tanpa bertangguh kerana kita yakin akan tujuan yang hendak dicapai iaitu membudayakan pemakanan sihat dikalangan kanak-kanak khususnya dan masyarakat umumnya.
Intensif Magnet Kekayaan & Kejayaan - Dr.Azizan Osman
KUASAI EMOSI ANAK
Perkongsian ringkas daripada ibu dan sifu berpengalaman iaitu Dr.Puteri Afzan, pengasas kinderkaizen kepada saya tidak diambil enteng kerana formulanya sangat membantu dalam menjayakan misi setiap dikalangan ibubapa yang inginkan kejayaan bagi anak-anak mereka.
Dunia semakin deras dengan arus teknologi masa kini. Ramai manusia tenggelam dalam dunia alam maya yang diciptanya sendiri. Perubahan ini turut memberi kesan negatif kepada kanak-kanak. Menurut satu kajian yang telah dibuat oleh kementeriaan Kesihatan pada tahun 2006, iaitu Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan Malaysia mendapati masalah kesihatan mental di kalangan kanak-kanak dan remaja akibat tekanan adalah 20.3%, meningkat sebanyak 13% berbanding 1996 (Utusan Melayu 2011). Kajian yang dibuat pada ketika manusia tidak lagi terdedah dengan pelbagai gaget. Kini, selepas 9 tahun sudah pastinya berlaku peningkatan drastik akibat terlalu banyak pendedahan manusia dengan dunia alam maya. Apakah tiada kebimbangan di alam hati kita sebagai ibubapa?
Konsep yang dibawa oleh Dr.Puteri Afzan adalah dengan mengembalikan kanak-kanak ke dalam dunia realiti iaitu bermain secara fizikal dan diberi penekanan terhadap program sosio-emosi. Apabila anak-anak disibukkan dengan aktiviti fizikal, maka mereka tidak lagi menjadi mangsa gaget yang telah merosakkan emosi ramai dikalangan kanak-kanak seluruh dunia.
Apa kepentingan menjaga emosi anak?
Pada peringkat pertama penumbuhan kanak-kanak iaitu pada usia 0 - 6 tahun, rangkaian neuron (sel-sel otak) akan terbina dengan begitu pesat. Maka apa sahaja yang dialami dari segi emosi akan terpahat dan kekal bersama dengan pengalaman melihat, mendengar, menyentuh dan lain-lain.
Kaitan antara emosi anak dalam menjayakan budaya makanan sihat dikalangan mereka.
Anak-anak tidak suka dipaksa. Pernah dengar kisah anak-anak genius yang dipaksa belajar akhirnya kemana? Ada yang berjaya dan ada juga dikalangan mereka yang rosak hidupnya akibat tekanan emosi yang mereka perolehi semenjak kecil. Buah yang disuntik dengan hormon bagi mempercepatkan perkembangan didapati akan lebih cepat rosak berbanding buah yang melalui proses pertumbuhan secara alami. Begitu juga dengan manusia, potensi yang dimiliki oleh setiap anak haruslah dikembangkan mengikut fitrah yang ditentukan oleh Allah. Ibubapa harus mengambil kira soal fitrah yang mereka miliki. Fitrah emosi seperti bermain, membuat keputusan dan sebagainya.
Nak membudayakan makanan sihat dikalangan anak-anak kita sedangkan budaya masyarakat sekeliling sangat berbeza. Apa tindakan bijak yang boleh kita ambil dalam menjayakan tujuan ini dalam masa yang sama emosi anak terjaga?
Jawapan daripada Dr.Puteri apabila saya ajukan satu soalan padanya.
Soalan:
Apa tindakan yang sepatutnya dibuat bagi membolehkan anak-anak melakukan perkara yang kita suruh?
Jawapan:
Kanak-kanak takkan buat benda yang mereka tidak suka. Jangan sekali-kali memaksa mereka kerana boleh mengganggu emosi mereka. Jawapannya, wujudkan pilihan dan keseronokan. InsyaAllah anak-anak akan melakukan perkara seperti yang kita inginkan.
FORMULA 'TRY AND UPGRADE'
Ibubapa perlu kreatif menawan hati anak. Mungkin pada peringkat awal kita sangat beremosi dengan pelbagai kerenah mereka kerana seringkali bertentangan dengan kehendak hati kita. Pelbagai cara dilakukan tetap menemukan jalan buntu. Percayalah, apabila kita memahami mereka sebagai 'kanak-kanak' maka kita akan berlapang dada dan sedaya upaya maraih hati mereka dengan cara yang mereka suka. Beberapa contoh yang dapat dikongsi berkaitan dengan penerapan budaya makanan sihat pada diri anak-anak saya. Inilah berdasarkan pengalaman kami sebagai ibubapa:
Bagaimana mahu menerapkan makanan berkhasiat kepada anak-anak?
Setiap perkara baru yang cuba dibawa ke dalam kehidupan anak-anak perlulah ditanam dengan ilmu pengetahuan terlebih dahulu. Seperti halnya untuk membiasakan anak-anak makan sayur, mereka perlulah diberi kefahaman berkaitan khasiat sayur pada tubuh mereka. Kefahaman ini perlu ditanam ke dalam fikiran mereka sekerap yang mungkin agar mereka dapat memahami rasional. Mungkin pada peringkat awal mereka sukar memahami, tetapi dengan usaha yang konsisten mereka mampu melakukannya dengan rela hati. Jangan sesekali kita mengalah dengan penolakan mereka yang pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Lakukan dengan penuh yakin dan sabar. Semestinya doa adalah tunjang utama kepada kejayaan sesuatu usaha.
Terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan oleh ibubapa dalam usaha memperkenal dan menarik minat anak terhadap makanan yang berkhasiat.
Cara 1: Mulakan pada peringkat awal.
Semasa peringkat awal bayi anda diperkenalkan kepada makanan, mereka masih tidak mengerti dengan rasa sesuatu makanan. Jadi, mereka akan makan apa sahaja yang disuapkan ke dalam mulut mereka. Amat penting pada peringkat ini dibiasakan dengan menu yang sihat seperti sayuran hijau, buah-buahan dan sebagainya tanpa perasa seperti garam dan gula.
Cara 2: Wujudkan keseronokan
Pada peringkat yang mereka telah pandai membuat pilihan, cuba psiko fikiran mereka daripada taknak kepada nak.
Contoh: Ibu/ bapa makan sambil menzahirkan bahasa badan yang menunjukkan sangat sedap sehingga terkeluarlah ayat "MasyaAllah...sedap betul sayur ni. Nyum..nyum...nyum.."
Cara 2: Memberi pilihan
Apabila anak mula berkata: "Ummi...adik tak nak sayur". Maka jawapan anda:"Makan nasi dengan sayur atau kita tak boleh makan." bagi anak-anak yang memang jenis pemakan, sudah pasti akan membuat pilihan yang pertama.
Bagi kebanyakan situasi, cara yang pertama didapati lebih berjaya daripada cara yang kedua kerana dengan cara ini pemikiran dan emosi mereka berjaya dikuasi dan dengan mudah untuk mereka menerima sesuatu perkara tampa paksaan. Pelbagaikan intonasi suara dan bahasa badan mengikut situasi bagi mengelakkan kebosanan dan penolakan. Peringatan, jangan hidang makanan selain dari makanan yang sepatutnya mereka makan lebih-lebih lagi makanan yang lebih menarik perhatian daripada makanan yang sepatutnya. Apabila mereka telah terbiasa dengan makanan yang sama, maka dengan sendirinya mereka jatuh hati pada makanan tersebut.
Antara makanan kegemaran ketiga-tiga anak saya adalah sayur bayam, brokoli, sawi cina, bendi, kacang buncis, dan paku pakis. Antara faktor yang mempengaruhi kegemaran mereka juga adalah rasa dan cara hidangan.
TIPS UNTUK KONSISTEN
Buat para ibubapa yang ingin mengubah gaya pemakanan anak-anak kepada yang lebih sihat. Jom saya kongsikan beberapa kaedah yang terbukti berkesan.
Pertama:
Tanamkan ilmu pengetahuan kepada anak sekerap dan sebanyak mungkin antara makanan 'baik' dan makanan 'dera diri' supaya apabila mereka berhadapan dengan faktor luaran maka mereka mampu membuat keputusan yang terbaik berdasarkan prinsip yang telah ditanamkan dalam fikiran mereka.
Kedua:
Ubah bahan menu kepada bahan yang lebih sihat tetapi kekalkan rasa dan rupa menu.
Kaedah ini membuatkan mereka rasa dihargai. Walaupun tidak dibenarkan makan makanan yang dimakan kebanyakan orang tetapi tetap diraikan kehendak fitrah mereka.
Ketiga:
Kosongkan dapur dan ruang makan anda dengan makanan 'dera-diri' dan penuhkan dengan makanan yang berkhasiat. Apabila mereka lapar, pilihan yang mereka ada hanya makanan yang berkhasiat.
Keempat:
Sentiasa menyediakan pilihan buat anak-anak walaupun tidak dirumah. Ini bagi mengelakkan perkara tidak yang tidak diingini. Contohnya, seseorang memberikan snek 'dera diri' pada anak kita. Kadangkala anak-anak tidak cukup kuat untuk mempertahankan prinsip yang telah ditanamkan kepada mereka. Dengan adanya snek sihat mereka, maka kita telah menyediakan pilihan buat mereka. Kehendak mereka terpenuhi, emosi mereka juga dapat dijaga.
Sekian buat kali ini, semoga bermanfaat
Sebarang kesalahan pada fakta dan bahasa, mohon dimaafi dan sebarang teguran dialu-alukan.
Nukila: Nur Imtiyaz