Pengenalan


SNEK SIHAT ANAKKU merupakan satu projek yang cuba diusaha dan diketengahkan oleh kami (saya dan suami) di bawah satu perniagaan yang berdaftar iaitu MUSLIM JUNIOR RESOURCES. 

Projek ini bertujuan menyampaikan informasi ilmiah berkaitan pemakanan yang sihat bagi khususnya pada peringkat 6 tahun awal pembesaran mereka dengan memberi fokus kepada snek harian . Kenapa kami memfokuskan snek? Kerana kanak-kanak sangat suka kepada snek dan hampir keseluruhan hari mereka dihabiskan dengan mengunyah snek. Kajian telah membuktikan, pengambilan snek mudarat yang kerap dan berlebihan boleh merosakkan fungsi badan dan otak kanak-kanak. Jadi, kami tampil untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat akan hal ini. Kami juga turut menyediakan alternatif kepada para ibu bapa utuk mendapatkan snek yang sihat dan berkhasiat untuk anak-anak mereka dengan produk keluaran kami di bawah jenama 'Snek Sihat Anakku'. Produk kami boleh di dapati secara online atau mana-mana kedai Az-Zain dan kedai jualan barang baby terpilih.

BIODATA PENULIS


Nama sebenar adalah Nor 'Aini bt Shukor. Nama pena adalah Nur Imtiyaz seperti yang telah dikenali oleh kenalan alam maya. Berasal dari Kg.Lakai, Jolobu Negeri Sembilan. Ye...saya orang kampung tulen. Selama membesar di kampung hanya mengenal sayuran di sekitar rumah, ayam yang diternak oleh mak ayah dan ikan sungai yang dipancing oleh abang-abang. Kehidupan yang sangat menyeronokkan sebagai kanak-kanak. Permainan tika lapang adalah pondok-pondok yang dibuat dari ranting-ranting kayu, masak-masak guna tempurung kelapa, panjat pokok langsat, duku, kundang, manggis, rambutan dan sebagainya, kadang-kadang boring pergi mandi sungai sambil minum air kelapa yang digait sendiri dan pelbagai keseronokan sebagai anak kampung yang tidak dapat digambarkan. 

Pengalaman Indah bersama keluarga tercinta

Ayah seorang petani kampung yang pernah mengusahakan ladang tembikai dan belimbing. Pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah kami sekeluarga terpaksa duduk berminggu-minggu di pondok buatan ayah yang terletak di ladang tembikai disebabkan ketiadaan bekalan air di rumah. Pondok yang berdekatan dengan sungai. Setiap hari kami akan mandi dan basuh baju di sungai, ada ketikanya mencari kijing di tepi-tepi sungai. Ayah menyediakan dapur kayu untuk keperluan memasak. Sayuran di sekitar pondok dan ikan sungai yang berjaya ditangkap oleh ayah akan menjadi santapan kami sehari-hari. Sungguh! Inilah pengalaman yang sangat dirindui tika bersama mak dan ayah serta adik beradik. Terima kasih kepada ayah Shukor bin Ahmad dan Mak Jemu bt Gimon atas pengalaman berharga ini. Semoga mak dan ayah bahagia di dunia dan di akhirat dan semoga kita ditempatkan bersama di syurga.

Latar belakang pendidikan

Kami adik-beradik diajar hidup berdikari sejak kecil lagi. Pernah duduk di asrama dari darjah 1 hingga darjah 3 kemudian berpindah ke sekolah harian biasa sehingga tamat tingkatan 5. Alhamdulillah dengan keputusan SPM yang baik, saya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke UiTM Machang dalam bidang Statistik. Saya memilih untuk masuk ke tingkatan 6 yang konon-kononya jalan pintas nak dapatkan ijazah. Sekerat jalan di tingkatan 6 rasa tak boleh nak teruskan. Masa tu tercari-cari la tempat untuk sambung belajar akhirnya dapat tawaran masuk ke Kolej. Di Sinila berjumpa dengan suami tetapi sekadar kawan study group. Sekerat jalan juga...Mendapat tawaran kali kedua melanjutkan pelajaran ke UiTM Perlis di dalam bidang Sains Ukur Geomatik dan seterusnya berpindah ke UiTM Shah Alam

Pengalaman hidup di perantauan.

UiTM dihatiku... UiTM Shah Alam menggamit memori lampau sebagai seorang anak kampung yang cuba membina kehidupan. Di tahun-tahun akhir pengajian, mempunyai masalah kewangan apabila tidak lagi layak mendapatkan kemudahan asrama dan makanan yang disediakan oleh pihak UiTM. Atas faktor ini, digagahkan diri mencari pekerjaan. Alhamdulillah, Allah menyalurkan rezeki yang baik. Diizinkan menjadi home tutor di sekitar Shah Alam. Berbekalkan sedikit ilmu, saya menunggang motorsikal milik kawan tanpa lesen meredah kesibukan jalan raya di tengah bandar Shah Alam di bawah panas terik matahari menuju ke rumah pelajar yang ingin mendapatkan khidmat saya. Seksyen 7, seksyen 9, seksyen 18 dan TTDI Jaya antara tempat-tempat yang setiap minggu menjadi tempat tuju saya. Sedikit 'jakun' apabila memasuki rumah-rumah pelajar yang seakan-akan istana. WAlaupun terasa diri ini kerdil dan dhaif, digagahkan melangkah meneruskan usaha mencari rezeki demi meneruskan hidup di kota besar tika itu.


UiTM Shah Alam juga merupakan tempat bermulanya saya mengenal islam dengan baik. Diizinkan Allah mengenali sahabat-sahabat seperjuangan yang turut bersama mempelajari islam dari segi teori dan praktikal dengan mendalam. Setelah mula mengenal Al-Quran dan hadis serta memahami kandungannya, terasa seolah-olah hidup ini baru sahaja bermula dengan disinari cahaya islam. Syukur tidak terhingga di atas nikmat tarbiyyah yang telah diberikan Allah. Sungguh, saya amat merindui saat bersama sahabat-sahabat seperjuangan Zuraida Muhammad, Nor Asnani Misran, Nurfarhah Mohd Najib, Siti Hajar, Norhidayah Mohd Senin, Nurhidayah Hussin, Norhayati Abdul Ghani dan lain-lain. Semoga Allah tempatkan kita bersama di syurga.

Pengalaman dalam bidang kerjaya

Setelah tamat pengajian pada tahun 2009, pelbagai pekerjaan yang saya buat untuk terus menampung hidup. Pernah bekerja sementara dengan UiTM kemudian mendapat tawaran bekerja di sebuah syarikat konsultant 'The Signs Lab' sebagai eksekutif merangkap tenaga pengajar. Menawarkan khidmat pendidikan berkonsepkan sains dan AlQuran dengan pendekatan  Hans-On/eksperimen di  beberapa buah sekolah dan tadika serta individu yang berminat. Misi syarikat ini adalah ingin membawa anak-anak melihat kehebatan Allah dalam setiap perkara yang terdapat di muka bumi ini melalui aktivit-aktiviti yang mereka lakukan. Di sini, saya telah mendapatkan ilmu yang sangat berharga dan minat untuk mendalami ilmu sains dan AlQuran semakin bertambah. Saya diberi peluang membuat modul dan lampiran kerja berkaitan dengan aktiviti, secara tidak langsung saya sendiri dapat mempelajari banyak perkara tentangnya. Kepada Encik Halim Din Dan Dr. Ariza Mohamed selaku majikan saya ketika itu, ketahuilah bahawa peluang kerja yang pernah ditawarkan kepada saya pada satu ketika dahulu merupakan satu titik tolak saya kepada kehidupan yang lebih baik dan tidak pernah saya sia-siakan sehingga ke saat ini. Saya pernah menggunakan modul-modul yang saya pelajari ketika itu untuk disalurkan di dalam program-program pendidikan anak-anak di sekitar melaka dan Kuala Lumpur. Semoga pahala yang saya perolehi turut mengalir kepada kalian berdua.

Kemudian, saya ditawarkan bekerja di Tahfiz Intergrasi Dar Al-Hikmah, Ampang sebagai pembantu tadbir merangkap guru sanis dan geografi. Sekolah ini adalah sebuah sekolah harian yang menawarkah subjek hafazan, deeniyah dan akademik dalam sistem pembelajaran anak-anak. Gembira dan syukur yang tidak dapat diungkapkan kerana kehidupan saya sentiasa dihalakan kearah perkara yang tidak saya sangkakan. Minat yang mendalam terhadap ilmu sains, geografi dan AQ disalurkan ke tempat yang yang tepat. Saya diminta mengajar mengikut modul yang saya cipta sendiri bersumberkan ayat-ayat Al-Quran kerana tika itu sekolah ini tidak terikat dengan sistem pendidikan Malaysia. Fokus sekolah adalah ingin membawa pelajar memahami sains dan alam bersumberkan apa yang tertulis di dalam Al-Quran. Satu cabaran buat saya kerana saya bukan berlatar belakangkan pendidikan AQ. Jadi, sumber saya adalah melalui usrah mingguan, seminar bulanan dan kelas tafsir yang saya hadiri. Alhamdulillah, saya dapat melaksanakan tanggungjawab yang diberi dengan baik.

Berhijrah ke Melaka.

Selepas 4 bulan berkhidmat di Tahfiz Intergrasi Dar Al-Hikmah saya mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga. Setelah berkahwin masih kekal bekerja dan terpaksa berjauhan dengan suami yang pada ketika itu masih belajar di Malaka. Selepas melahirkan anak sulung,saya mengikuti suami berhijrah ke Melaka.

Di Melaka, kami menjalani kehidupan yang agak sukar. Minat saya terhadap kerjaya sebelum ini tidak dapat diteruskan kerana ketiadaan sekolah yang menawarkan sistem pendidikan yang sama. Saya menjadi penganggur sedangkan suami masih belajar sepenuh masa. Kami menjalani hidup sehari-hari dengan berbekalkan duit pinjaman MARA yang diperolehi suami setiap bulan. Alhamdulillah cukup untuk keperluan kami tiga beranak cuma tak bolehlah nak memenuhi kehendak yang pelbagai. 

Tidak lama selepas itu saya ditawarkan untuk mengajar AQ di sebuah sekolah agama di Durian Tunggal. Khadijah ketika itu baru berusia 2 bulan, saya usung sama ke kelas mengaji. Tidak lama sebagai guru AlQuran kerana terpaksa berpindah ke rumah baru yang lokasinya agak jauh untuk berulang ke sekolah. Alhamdulillah rezeki kami sentiasa ada. Suami yang mempunyai pengalaman mengendalikan program motivasi di universiti sering dipanggil untuk mengendalikan kem motivasi cuti sekolah dan dibantu oleh saya. Bermula dari kem tersebut terdapat dikalangan ibu bapa yang berminat mendapatkan khidmat kami untuk membuat home tuition subjek AlQuran dan hafazan. Mujur saya pernah diberi peluang mempelajari sistem hafazan di sekolah lama. Pernah juga beberapa kali mengajar subjek hafazan menggantikan kelas yang ketiadaan guru. Saya sendiri sedang berusaha menghafal beberapa surah mengikut kaedah yang saya pelajar. Alhamdulillah segalanya menjadi mudah. 


Kembali berkhidmat di Kuala Lumpur.

Selepas 2 tahun menetap di Melaka, saya mengandung anak kedua dan suami pada ketika itu juga telah berjaya menyelesaikan Ijazahnya. Selepas beberapa bulan, beliau mendapat tawaran bekerja di KL sebagai Jurutera. Memangdang keadaan kewangan yang tidak begitu stabil dan kos sara hidup yang tinggi di KL, suami meminta saya terus menetap di Melaka buat sementara waktu. Kelas Al-Quran dan hafazan di melaka dieruskan oleh saya pada sebelah petang dan malam. Di sebelah pagi sehingga tengahari pula saya akan bekerja di stesen minyak kepunyaan kakak ipar sebagai pembantu tadbir. 

Selepas 2 bulan berjauhan dengan suami, hati terasa rindu untuk kembali ke KL. Selain daripada terasa ingin sentiasa dekat dengan suami, saya juga sangat rindu akan suasana majlis ilmu di KL yang sentiasa hidup tidak seperti di Melaka. Saya menghubungi pengetua Tahfiz Intergrasi Dar Al-Hikmah untuk kembali berkhidmat di sana tetapi tiada kekosongan. Saya perbanyakkan doa agar saya memperoleh pekerjaan yang baik diri, keluarga dan agama. Beberapa hari kemudian, saya mendapat panggilan daripada Ummi Fauziah iaitu Pengasas Pusat Tahfiz Darul Haafizhiin (tempat terakhir saya berkhidmat). Beliau merupakan kenalan kepada salah seorang lembaga pengarah Tahfiz Intergrasi Dar Al-Hikmah. Beliau menawarkan jawatan sebagai Pembantu Pegawai Tadbir di sekolah tahfiz milik beliau di Dato' Keramat. Alhamdulillah, Allah mendengar doa saya. Meskipun dipanggil bekerja bukan sebagai seorang guru tetapi saya sangat bersyukur kerana Allah meletakkan saya di dalam suasana bekerja baik.

Subhanallah, manusia itu merancang dan Allah juga punya perancangan untuk hambanya. Sebaik-baik perancang adalah Allah...sugguh! Allah telah merancang sesuatu yang baik untuk diri saya dan keluarga. Pusat Tahfiz Darul Haafizhiin punya kelainan dari tempat kerja saya sebelum ini. Satu tempat yang menyediakan pekej lengkap untuk anak-anak dengan yuran bulanan yang sangat rendah. Anak-anak diwajibkan membuat senaman di awal pagi untuk merangsang perkembangan fizikal dan minda. Setiap pagi anak-anak akan melompat, merangkak, mengensot dan bergayut. Satu perkara yang luar biasa bagi saya. Kemudian anak-anak akan memasuki kelas untuk menghafal Al-Quran diikuti subjek akademik dan deeniyah di sebelah petang. Pemakanan anak-anak disini turut dijaga dengan baik. Makanan pagi dan tengahari disediakan bagi memelihara kebersihan dan kualiti makanan daripada unsur yang tidak baik dan tidak sihat kepada badan serta otak.

Belajar menjadi ibu profesional membentuk anak cemerlang .

Selepas setahun bekerja, hubungan dengan pengasas sekolah iaitu Ummi Fauziah menjadi semakin akrab. Saya mula mengenali sedikit demi sedikit sejarah hidup beliau sehingga saya merasa sangat kagum dengan insan hebat ini. Bermula sebagai seorang pegawai bank beralih menjadi seorang usahawan yang berjaya. Di tengah-tengah kemewahan hidup yang beliau kecapi bersama suami, beliau mendapat hidayah. Beliau mengambil keputusan bersama-sama suami meniggalkan segala urusan perniagaan dan membawa anak-anak berhijrah ke Yaman untuk mendalami islam secara lebih mendalam.


Ummi Fauziah juga merupakan seorang wanita hebat yang telah berjaya membesarkan anak-anak dengan cemerlang. Beliau sering menasihati dan memberi sarana terbaik kepada saya dalam mendidik anak-anak khususnya di dalam penjagaan makanan anak-anak. Sehinggalah satu hari beliau meminta saya untuk menghadiri satu seminar 'parenting' yang dianjurkan oleh Institut Nury. 

Selama dua hari penuh, saya dah suami mengikuti kursus anjuran Institut Nury. Terlalu banyak perkara baru yang kami pelajari. Kami mula mendapat kesedaran yang luar biasa untuk membuat perubahan di dalam keluarga yang kami bina khususnya buat tiga puteri kami. Dua perkara penting yang kami lakukan adalah:

1) Memperbanyakkan program stimulasi anak-anak seperti melompat, merangkak dan memanjat. Jika tidak berkesempatan membawa anak-anak ke taman permainan, kami akan bermain di dalam kawasan rumah

2) Mengubah gaya makan anak-anak kepada makanan yang lebih sihat. Mula membuat kajian tentang pemakanan yang baik dan berkhasiat untuk anak anak. Makanan segera sepeti KFC, burger dan sebagainya tidak lagi menjadi pilihan. Makanan ringan seperti kek, biskut dan snek-snek mula dicipta sendiri. Cuba mengelakkan penggunaan gula putih dan susu pekat manis di dalam pemakanan dan minuman.


Diantara dua perubahan yang kami lakukan ini, ternyata mengubah gaya makan bukanlah sesuatu yang mudah. Kami terpaksa berhadapan dengan faktor dalaman dan luaran yang sangat mencabar. Agak mustahil untuk meneruskan perjuangan makanan sihat ini. Jadi apakah kami akan mengalah?

Bermulalah 'Projek Snek Sihat Anakku'

Selepas 2 tahun berkerja di PTDH, terlalu banyak ilmu yang saya pelajari tetapi agak sukar diaplikasikan dek kerana kesibukan bekerja. Anak-anak sering menjadi mangsa kerana saya tidak dapat menjalankan amanah menyediakan makanan terbaik buat mereka atas faktor keletihan. Saya mula memutuskan untuk mengurangkan komitmen terhadap sekolah. Saya menghantar notis berhenti kerja kepada pengetua sekolah. Saya diminta untuk menjadi tenaga pengajar separuh masa sebagai guru sains dan matematik dan saya menerima tawaran tersebut. 

Selama setahun saya menjadi guru part-time, ternyata tidak menyelesaikan masalah. Komitmen bekerja hanya sedikit berkurang dan anak-anak masih rasa terabai. Hujung 2016 saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja sepenuhnya dengan tujuan memberi fokus kepada anak-anak. Sebelum berhenti, pihak sekolah meminta saya mengetuai satu program cuti sekolah selama seminggu bertindak sebagai ketua program. Saya sempat mencurahkan sedikit ilmu kepada anak-anak dan sedikit sumbangan kepada sekolah dengan membuat modul aktiviti program yang telah digunapakai dalam keseluruhan aktiviti yang dijalankan. Alhamdulillah, sumbangan terakhir saya di harap boleh menjadi saham akhirat yang tidak terhenti pahalanya. Kini, saya bergelar suri rumah sepenuh masa.

Mengambil keputusan berhenti kerja bukan alasan untuk saya berehat. Saya mempunyai matlamat yang jelas terhadap dunia pemakanan anak-anak iaitu mengetengahkan produk snek sihat dikalangan kanak-kanak khususnya di peringkat 6 tahun awal perkembangan mereka . Sambil memberi perhatian kepada ketiga-tiga puteri kesayangan, saya mula membuat kajian dan menghadiri pelbagai seminar pemakanan anak-anak bagi menambah ilmu dan keyakinan terhadap usaha yang hendak saya lakukan. Keputusan ini diambil atas beberapa faktor yang sangat menekan, iaitu:
  • Ramai dikalangan kanak-kanak kini telah menjadi mangsa terhadap revolusi pemakanan. Hampir setiap hari dan setiap masa mereka dihidangkan dengan makanan yang memberi kesan buruk terhadap tubuh mereka.Kami ingin menyediakan alternatif bagi menyelamatkan mereka dari terus menjadi mangsa terhadap revolusi ini.
  • Kurangnya suara dan tentangan dari para ilmuan dan agamawan terhadap industri pemakanan yang semakin memberi mudarat pada tahap kesihatan manusia. Kami ingin tampil memberi kesedaran kepada masyarakat untuk kembali mengamalkan cara hidup sihat terutama kepada anak-anak.
  • Ramai dikalangan ibubapa yang mempunyai kesedaran akan hal ini tetapi tidak mempunyai kekuatan untuk mengubah gaya makan anak-anak disebabkan faktor persekitaran yang begiru menekan dan tidak memberi sokongan. Kami hadir untuk memberi sokongan kepada ibu bapa dan masyarakat yang ingin memperjuangkan cara hidup sihat terhadap anak-anak dan ahli keluarga mereka.
Sekian buat kali ini tentang diri saya-Nur Imtiyaz


No comments:

Post a Comment